Friday 6 May 2011

FAM "RM500.000 Atau Lupakan Aksi Kelab Gergasi EPL"



Tanggung kos penangguhan pembaikan trek sehingga RM500,000 dan Stadium Nasional, Bukit Jalil boleh dibuka semula untuk menyambut kehadiran tiga kelab gergasi Liga Perdana England (EPL)!

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengenakan syarat itu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekiranya masih berhajat melangsungkan perlawanan persahabatan skuad kebangsaan dengan Liverpool, Arsenal dan Chelsea di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Julai ini.

Beliau berkata, Kementerian juga sedia mengatur penangguhan dan penjadualan semula kerja pembaikan trek dengan pemiliknya, Perbadanan Stadium Merdeka tetapi menegaskan tidak dapat membiayai kos berkenaan kerana akan dianggap membazirkan wang rakyat.

"Perbadanan juga menghadapi masaalah kewangan. Saya memang teringin menyaksikannya di Stadium Nasional kerana di situlah paling layak melangsungkannya tetapi kerja pembaikan sudah dimulakan dan memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk siap.

"Kalau kita hendak tanggung juga kosnya, program pembangunan atlet pula bakal terpaksa dikorbankan. Kecuali FAM sedia menanggung kos di stadium itu, yang lain saya rasa tiada masalah.

"Sebelum ini, ia sudah pun ditangguhkan beberapa kali termasuk bagi memberikan laluan kepada perlawanan akhir Piala Suzuki AFF dengan Indonesia, Disember lalu," katanya selepas pelancaran lagu tema dan maskot Sukan Malaysia XIV Kuala Lumpur 2011 di Menara KBS di sini, semalam.

Kelmarin FAM mengesahkan kehadiran ketiga-tiga gergasi EPL namun hanya perlawanan anak buah K. Rajagobal dengan Chelsea sudah ditetapkan 21 Julai ini sedangkan tarikh menentang Liverpool dan Arsenal hanya diketahui minggu depan dan gelanggangnya belum dapat dipastikan.

Antara gelanggang alternatif yang dijangkakan bagi tiga persahabatan dengan kelab yang memiliki ramai peminat setia di Malaysia itu ialah Stadium Shah Alam, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dan Stadium Petaling Jaya.

Sumber: Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...