Saturday 7 May 2011

Enam Lagi Pemain Dipanggil Untuk Skuad Olimpik



Lima lagi pemain daripada pasukan Harimau Muda A yang beraksi dalam Liga Super dan seorang pemain Johor FC  dipanggil untuk menjalani latihan bersama skuad Olimpik negara yang akan menentang Lebanon pada 19 Jun ini.
Mohd Ferris Daniel Mat Nasir, S.Sivanesan, A.Thamil Arasu, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan D.Saarvindran, serta Fandi Ahmad dari Johor FC akan menyertai 20 pelatih di bawah kendalian Ong Kim Swee untuk mencari tiket beraksi di Sukan Olimpik London 2012.
Selain Fandi, empat lagi pemain di luar pasukan Harimau Muda A yang membentuk skuad Olimpik ialah Khairul Fahmi Che Mat dari Kelantan, Mohamad Faizal Abu Bakar (Kedah), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan) dan Muhammad Zubir Mohd Azmi (Terengganu).
Menurut kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, skuad pelatih Olimpik akan melapor diri untuk menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada 29 Mei.
Skuad itu kemudian akan beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang skuad Olimpik Kemboja di Phnom Penh (7 Jun) sebelum menjalani latihan luar negara dengan menentang skuad Olimpik Qatar di Stadium Al Saad, Qatar, pada 13 Jun.
Skuad negara kemudian akan beraksi dalam perlawanan pusingan kedua kelayakan Olimpik menentang Lebanon di Stadium Sport City, Beirut pada 19 Jun sebelum menanti kunjungan lawan di ibu negara pada 23 Jun.
Skuad Olimpik negara melangkah ke pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik selepas menewaskan Pakistan dengan agregat 2-0.
Malaysia kali terakhir layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1980 di Moscow tetapi kerajaan Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.
Sebelum itu, pemain Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.

Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...