Saturday 11 June 2011

Jurulatih Jepun Menasihatkan Pemain Berhijrah ke Luar Negara



Jurulatih Jepun, Alberto Zaccheroni menasihatkan pemainnya untuk berhijrah ke luar negara dalam usaha membentuk pasukan mantap bagi melakukan impak pada Piala Dunia Brazil 2014.
Skuad Samurai Biru itu kini mempunyai 11 pemain yang berpangkalan di Eropah dalam skuad 25 pemain yang beraksi pada Piala Kirin dengan penyerang Takashi Usami dan Tadanari Lee dijangka berpindah ke Jerman.

Shinji Kagawa berjaya menarik minat Manchester United namun terpaksa diketepikan kerana masih bergelut untuk pulih daripada kecederaan kaki ketika membantu Jepun merekod kejuaraan Piala Asia keempat, Januari lalu.
Pemain tengah, Yasuhito Endo yang beraksi bersama kelab Liga J, Gamba Osaka berkata, Zaccheroni percaya pemain Jepun harus menimba pengalaman di luar negara untuk meningkatkan prestasi.

“Saya mendengar bermacam-macam cerita mengenai Itali daripada jurulatih,” kata Endo kepada Nikkan Sports. “Saya menyerahkan urusan itu kepada ejen tapi bukan saya seorang saja yang mendapat nasihat daripada jurulatih. Beliau mahu kami bermain di peringkat lebih tinggi.” Zaccheroni, yang memainkan peranan dalam urusan perpindahan pemain pertahanan, Yuto Nagatomo ke Inter Milan mahu semua pemain berada di tahap terbaik apabila bersama dengan skuad Jepun. “Aksi dengan kelab tidak sama kerana mereka mempunyai masa yang singkat bersama skuad Jepun,” kata Zaccheroni. “Akibat perbezaan jadual liga Eropah dan Liga J, tahap prestasi pemain berbeza. “Saya mahu mereka berada di tahap prestasi sama apabila menggalas tugas antarabangsa.” 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...