Sunday 19 June 2011

"Harimau Malaya Mengaum"


Harimau Malaya "mengaum'"di Stadium Muhammad Ke-IV di Kota Bharu, apabila membaham Myanmar 2-0Gol Malaysia dijaringkan setiap separuh masa menerusi Mohd Amirulhadi Zainal pada minit 27' dan Baddrol Bakhtiar minit 54'.  Perlawanan dimulakan dengan keadaan padang yang becak sebelum perlawanan sehingga menjejaskan corak permainan kedua-dua pasukan. Pintu gol cemas seketika apabila kesilapan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee tersilap mengagak hantaran lintang pada minit ke 9'. 

Abdul Hadi Yahaya yang turun sebagai penyerang utama bagaimanapun sukar mencari ruang untuk mengancam kubu lawan. Rakan gandingannya, Baddrol Bakhtiar lebih mencuri tumpuan dan sering dipertanggungjawab untuk memikul tugas mengambil sepakan percuma selepas lebih lima peluang terhidang di luar kotak penalti ekoran corak permainan agresif lawan. Pada minit 23', kegagalan Sharbinee membaca hantaran rendah dengan baik nyaris memakan diri dan mujur Helmi Remeli
menyelamatkan keadaan.

Amirulhadi akhirnya memecah kebuntuan selepas berada di kedudukan tepat menyambut kesilapan pemain pertahanan lawan yang cuba mengeluarkan bola dalam kotak penalti. Rentak anak-anak buah Datuk K. Rajagobal lebih meyakinkan dan mendominasi sebahagian besar separuh masa kedua. Sembilan minit permainan bersambung Baddrol melakukan penyudah menarik selepas tidak dikawal untuk pintu gol Myanmar dibolosi buat kali kedua. 

Bagaimanapun Baddrol terlepas dua peluang keemasan untuk melebarkan kedudukan apabila rembatannya minit 65' tepat ke arah penjaga gol lawan dan berselang seminit kemudian tolakannya tidak menepati sasaran. Namun, corak permainan masih tetap meyakinkan dengan kesebelasan pemain banyak menggunakan segenap inci padang untuk mencipta gerakan baik dari kawasan tengah mahupun pemain sayap. 



Gol Pertama : Mohd Amirulhadi Zainal

Gol Kedua : Baddrol Bakhtiar





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...