Wednesday, 11 May 2011

City Mara Ke Liga Juara-Juara Musim Hadapan



Gol jaringan sendiri oleh Peter Crouch memastikan Manchester City menempah tiket Liga Juara-Juara buat pertama kali selepas membenam Tottenham  Hotspurs 1-0 di Eastland lewat pagi tadi.
Crouch cuba mengeluarkan bola di dalam keadaan bahaya yang bermula daripada hantaran lintang James Milner tetapi ia sebaliknya menerjah ke jaring sendiri  pada minit ke-30 untuk sekaligus memberi kegembiraan buat Roberto Mancini.
Kejayaan ini turut dianggap manis buat anak buah Mancini kerana disamping mara ke saingan peringkat Eropah mereka juga berpeluang untuk menjuarai Piala FA  menentang Stoke City nanti.
City kini masih mempunyai peluang untuk memintas Arsenal di tangga ketiga dengan baki dua perlawanan dalam tangan sekaligus meraih tiket automatik serta  mengelak dari terpaksa beraksi dalam playoff.
"Kami akan dapat enam mata lagi untuk pastikan layak secara automatik, kami yakin mampu pintas Arsenal dalam dua baki perlawanan," ujar kapten City, Vincent  Kompany.
Nasib malang terus menimpa Spurs apabila gagal meraih kemenangan sepanjang 10 perlawanan yang ditempuhi, lebih memburukkan lagi keadaan ialah apabila Wilson  Palacios turut dibuang padang.
Dengan kecederaan pemain sayap Gareth Bale, serta prestasi merudum penjaga gol Heurelho Gomes ia nyata merungsingkan Harry Redknapp sehingga terpaksa  merombak banyak posisi di dalam skuadnya.
Di samping itu, City turut menerima perkhabaran gembira apabila pemain bintang mereka Carlos Tevez menunjukkan perkembangan positif sejak daripada pulih  kecederaan yang dialaminya.
Tevez bermain selama 7 minit babak akhir permainan dan dijangka bakal diturunkan pada final Piala FA menentang Stoke nanti.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...