SELEPAS mengambil keputusan untuk menandatangani kontrak setahun bersama kelab Island Bay United (IBU) untuk beraksi dalam Liga Perdana New Zealand Central, karier Muhd Ariff Zulkifly semakin cerah di luar negara.
Ini kerana pemain berusia 19 tahun itu dikhabarkan turut memikat kelab Liga Conference England, Luton Town FC seperti yang maklumkan Akademi Bola Sepak Ole, tempat Muhd Ariff menjalani ujian percubaan sebelum ditawar kontrak oleh IBU.
“Ariff akan pulang hari ini (semalam) ke New Zealand semula selepas berada di sini selama tiga minggu untuk menguruskan segala perkara membabitkan dirinya. Dia akan mula beraksi di Island Bay United selepas ini dan kontraknya dijangka tamat pertengahan musim depan.
“Sebagai pihak yang bertanggungjawab membawanya mencuba nasib di luar negara, kami berasa amat berbangga dengan langkah pertama Ariff ini.
“Ternyata langkah beraninya membuahkan hasil kerana pada masa sama kami dimaklumkan oleh pihak akademi, dia berjaya memikat kelab Luton Town FC.
“Cuma ketika ini, belum ada lagi tawaran rasmi daripada kelab itu. Jika benar dia ditawarkan untuk bermain di sana (Luton Town FC), kami amat berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama dengan Ariff lagi,” kata Pengurus Penajaan dan Aktiviti Mamee Double Decker (M) Bhd, Sharszany Shahry Abu Shahriman ketika ditemui semalam.